Rabu, 30 Mac 2011

LATAR BELAKANG SEMINAR

Al-Quran merupakan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang bersifat syumul. Ia meliputi segala aspek kehidupan manusia dan berperanan sebagai petunjuk kepada manusia untuk mengecapi kehidupan yang harmoni dan berpengetahuan di dunia serta menikmati kehidupan yang abadi di akhirat.

Sebagai kitab yang terakhir diwahyukan, al-Quran bukanlah sekadar kitab yang memberi penjelasan terhadap hukum-hakam semata-mata, malahan di dalamnya terdapat pelbagai bidang ilmu yang bermanfaat kepada manusia. Daripada zaman lampau hinggalah ke zaman yang serba moden ini, al-Quran sentiasa dibaca dan dikaji sehingga pelbagai fakta dan penemuan yang bertepatan dengan isi kandungan al-Quran ditemui. Penemuan berkaitan langit dan bumi, lautan dan daratan, manusia dan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan, angkasa lepas dan cakerawala, matematik dan geografi, sains dan teknologi, di dalam al-Quran membuktikan kebesaran Allah. Sekaligus memberi kesedaran kepada manusia bahawa benarlah al-Quran diturunkan daripada Allah yang Maha Esa.

Namun, malang sekali kerana kebanyakan penemuan tersebut ditemui dan dikaji oleh orang bukan Islam. Mereka mengambil kesempatan untuk mengkaji al-Quran kerana mereka dapati padanya terdapat ilmu pengetahuan yang merangkumi rohani dan jasmani, kemajuan dan pembangunan. Lantas cuba menjatuhkan orang Islam daripada lalai mendekatkan diri dengan al-Quran sehingga al-Quran sekadar menjadi perhiasan dan bukan lagi rujukan yang seharusnya menjadi panduan hidup.

Persidangan yang cuba dijalankan bertujuan menghimpunkan para cendekiawan Islam untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan ilmu-ilmu al-Quran yang bersifat turath, serta integrasi ilmu saintifik dan moden dengan al-Quran al-Karim. Diharapkan dengan berlangsungnya seminar ini nanti, akan akan menjadi wadah dan platform bagi membincangkan aspek penemuan-penemuan semasa sains yang bertepatan dengan nas-nas al-Quran seterusnya memperlihatkan kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar sepanjang zaman. 

OBJEKTIF / TUJUAN PERSIDANGAN 
i)              Memartabatkan al-Quran sebagai sumber ilmu turath dan moden.
ii)             Mengemukakan metode penghayatan dan pengaplikasian al-Quran dalam membina tamadun insan.
iii)            Mengutarakan penemuan saintifik dan hasil kajian terbaru yang menepati nas al-Quran.
iv)            Meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap al-Quran dan isu-isu semasa yang berkaitan dengannya.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan